Honda ‘hidupkan’ semula ikon ADV aras tengahnya, Honda XL750 Transalp (2023) debut di Eicma!

Selepas deretan imej render dan spekulasi sejak tahun lalu, Honda akhirnya melancarkan model ‘Adventure’ aras tengah yang pernah menjadi lagenda satu ketika dulu, Honda Transalp XL750 (2023).

Dan pentas kembalinya semula salah satu nama ikonik itu dilakukan Honda di Pameran Motosikal Milan (Eicma) 2022.

Sebagai info, Honda memperkenalkan nama Transalp buat pertama kali pada tahun 1987 menerusi Honda XL600V Transalp dan seperti diharapkan, ia menjadi salah satu model popular dalam segmen ‘Adventure’ atau ADV.

Juga baca: Honda Hornet CB750 (2023) buat kemunculan di Jerman, salah satu model berpotensi laris di Malaysia?

Ia berikutan kemampuan dan ketahanan motosikal berkenaan menjalankan tugasnya dengan baik bukan saja di laluan lasak, malah ‘on-road’.

Sebagai motosikal yang mampu meredah laluan lasak, Honda XL750 Transalp (2023) dipadankan dengan trenkuasa yang sama dengan Honda CB750 Hornet (Naked) yang turut baru dilancarkan sebelum ini.

Mengulas trenkuasa itu, ia adalah enjin bersesaran 755 cc, 2 Silinder Parallel Twin dengan 270 darjah ‘Crank & Unicam’, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, OHC. Enjin itu kemudian digandingkan dengan sistem transmisi 6 kelajuan dengan bantuan klac ‘slipper’ dengan teknologi cakera F.C.C Leaning Segment. 

Rekaan klac itu didakwa Honda dapat mengurangkan seretan tork sebanyak 30 peratus untuk pergerakan lebih lancar dan ‘upshift’ lebih mudah. Ia juga dikatakan mengawal sentakan tayar belakang ketika membrek dengan keras serta perubahan yang mendadak.

Kuasa yang dihamburkan adalah 90 Hp pada 9,500 rpm dan tork 75 Nm pada 7,250 rpm.

Juga baca: Honda CBR600RR 2021 tembus pasaran Malaysia, harga asas RM 98.8!

Jika diperhatikan, angka kuasa dan tork ditawarkan Transalp itu meletakkannya di tengah-tengah antara dua model ADV popular, Yamaha Tenere 700 (74 Hp) dan KTM 890 Adventure (105 Hp). 

Seperti Honda Hornet, Honda XL750 Transalp (2023) turut menggunakan teknologi ‘ride-by-wire’ yang canggih sekaligus datang dengan pelbagai ciri bantuan tunggangan elektronik menjadikannya sesuai untuk peminat kembara atau ‘Touring’.

Pakej elektronik serba baharu itu merangkumi empat mod tunggangan (Sport, Standard, Rain & Gravel, User). Setiap mod ini mempunyai tetapan sendiri termasuk dari sudut pemetaan enjin mengikut kesesuaian manakala mod User pula memberi kebebasan kepada penunggang untuk membuat tetapan sendiri.

Mengulas lanjut pakej elektronik motosikal ini, ia mempunyai 4 tahap ‘Engine Power’, tiga tahap ‘Engine Brake’, 2 tahap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan 5 tahap HSTC (Honda Selectable Torque Control).

Sistem HSTC turut boleh dinyahaktif bersama ABS roda belakang untuk penggunaan ‘off-road’ yang lebih mantap. Selain itu, ia turut memiliki Kawalan Wheelie yang disepadukan dengan ciri HSTC.

Segala tetapan boleh diakses menggunakan skrin TFT berwarna yang turut memaparkan pelbagai informasi lain dan turut mempunyai sambungan ke telefon bimbit menerusi Honda Smartphone Voice Control.

Juga baca: Honda CBR600RR 2021 HRC tiba di Indonesia. Spesifikasi, harga memang padu!

Dari sudut rekaan, Honda XL750 Transalp (2023) yang menggunakkan kerangka ‘Steel diamond’ ini tampil dengan rekaan moden dan ringkas dengan perwatakan agak berbeza dengan jentera ADV aras tinggi jenama itu, Honda African Twin.

Dan uniknya, sekalipun dipadankan dengan enjin lebih besar dan berkuasa, kerangka Transalp ini, yang turut digunakan oleh Hornat adalag 10 peratus lebih ringan berbanding Honda CB500X. 

Di bahagian suspensi, sistem yang digunakan adalah fork jenis terbalik (USD) ‘Separate function’ 43 mm dari Showa dengan jarak ‘travel’ 200 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal dengan jarak pergerakan 190 mm di belakang. 

Sistem brek yang digunakan adalah cakera berkembar bersaiz 310 mm dengan kaliper 2 piston (depan) dan cakera tunggal 256 mm dengan kaliper 1 piston belakang. Seperti jentera ADV tulen lain, set roda yang digunakan adalah 90/90-21 (depan) dan 150/70-18 (belakang).

Informasi lain adalah seperti jarak lega bumi 210 mm, berat 208 kg, tangki bahan api 16.9 liter, ketinggian pelana 850 mm dan Sistem lampu LED.

Tiada tanda harga diumumkan dan motosikal ini dijangka akan tiba di bilik pameran pengedar Honda di Eropah pada musim bunga 2023.

Source: Honda ‘hidupkan’ semula ikon ADV aras tengahnya, Honda XL750 Transalp (2023) debut di Eicma!

Write a Reply or Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *