Tiada gelaran berganda tapi Yamaha tetap hadiahkan YZR-M1 juara dunia MotoGP 2021 kepada Quartararo!

Sekalipun tak berjaya mempertahankan kejuaraan dunia MotoGP yang dijulang pada edisi 2021, jagoan Yamaha, Fabio Quartararo tetap dihadiahkan sesuatu yang amat bermakna daripada pasukannya – jentera Yamaha YZR-M1 yang ditunggangnya musim lalu.

Tiba sebagai salah seorang bintang Yamaha di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2022, perkembangan menarik itu dikongsikan sendiri pelumba kelahiran Perancis itu dalam satu majlis khas yang menampilkan dirinya.

Musim lalu, Quartararo tampak selesa untuk menjulang gelaran dunianya selepas meraih 10 kedudukan podium termasuk 5 kemenangan namun situasi itu berubah berikutan kebangkitan pretasi yang ditampilkan Ducati menerusi pelumbanya, Francesco Bagnaia.

 

Meskipun pada satu ketika selesa memimpin kejuaraan, Quartararo terpaksa menerima hakikat pahit dia menamatkan musim ini di tangga kedua.

Ketika ditemui, Quartararo yang pernah berlumba bersama pasukan Petronas Yamaha SRT berkata dia setakat ini sudah mempunyai tiga jentera yang pernah ditunggang di Kejuaraan Motosikal Dunia. 

“Yamaha memberikan saya jentera yang sama memenangi gelaran pada 2021 dan ia amat anggun. Saya cuba untuk mendapatkan beberapa jentera yang saya gunakan sepanjang karier saya. Ketika ini, saya baru memperoleh tiga,” kata Quartararo memetik laporan motosprint.it.

“Apa lagi motosikal yang saya mahu sebagai hadiah daripada Yamaha? Mungkin sebuah ‘Superbike’ sekalipun saya sudah mempunyai sebuah.”

Sebagai info, harga untuk sesebuah jentera MotoGP sememangnya cukup tinggi iaitu sekitar 2 juta euro (RM 9.5 juta) ke 4 juta euro (RM 18.9 juta). Sekalipun mahal ‘menggunung’, jentera berkenaan tidak boleh ditunggang di jalan raya biasa dan uniknya, tidak dijual.

Sumber imej: FB Monster Energy Yamaha MotoGPFabio Quartararo

Juga baca: Ducati lengkap kempen gemilang, ‘Pecco’ Bagnaia sahkan gelaran dunia MotoGP 2022!

Source: Tiada gelaran berganda tapi Yamaha tetap hadiahkan YZR-M1 juara dunia MotoGP 2021 kepada Quartararo!

Write a Reply or Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *