Perodua lepasi 200,000 unit jualan pada Okt 2022, Bezza sedan terlaris cantas Myvi dan Saga!

Perodua telah melepasi paras jualan 200,000 baru-baru ini apabila syarikat kereta kompak itu mencatatkan pendaftaran sejumlah 222,203 kenderaan antara Januari dan Oktober tahun ini

Pada perbandingan tahun setakat ini, pendaftaran untuk kereta Perodua melonjak kepada 51.2% daripada 146,951 unit yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2021.

“Terdapat jurang pada jualan antara Jun dan Ogos tahun lalu berikutan penutupan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk membendung kes Covid-19.

“Kami menjangkakan momentum pendaftaran akan terus meningkat sehingga akhir tahun,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Baca: Perodua capai 79% sasaran jualan tahun 2022 pada September, kini hampir 200k unit dah terjual!

Bagi Oktober 2022, Perodua menjual 25,849 unit iaitu peningkatan sebanyak 5% berbanding 24,626 unit yang dijual pada September 2022.

Model Perodua tiga teratas yang dijual pada Oktober ialah Bezza dengan 6,768 unit, diikuti Myvi dengan 6,130 unit dan Axia dengan 4,989 unit.

Dari segi pengeluaran, Perodua telah mengeluarkan 22,974 unit pada Oktober menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang dikeluarkan adalah sebanyak 229,811 unit antara Januari dan Oktober tahun ini.

“Kami merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan jumlah jualan kami kerana kami cuba melepasi sasaran jualan yang ditetapkan sebelum ini bagi tahun 2022 dan ini akan dapat mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

Beliau menambah bahawa prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi daripada jangkaan telah memberi kesan positif kepada ekosistem automotif tempatan, memandangkan secara purata 95% alat ganti Perodua adalah diperoleh secara tempatan.

“Malah, kadar penyetempatan yang tinggi juga telah membantu melindungi Perodua daripada turun naik pasaran pertukaran matawang asing pada masa ini. Hasrat kami adalah untuk menambah baik lagi rantaian bekalan automotif tempatan kerana dengan adanya industri ini, ia memberi banyak manfaat kepada Perodua dan para pengguna,” kata Dato’ Sri Zainal.

Pada Januari tahun ini, pembuat kereta kompak nasional itu telah mengumumkan sasaran pendaftaran sebanyak 247,800 unit untuk 2022.

Baca: Perodua sasar 250k unit jualan untuk tahun 2022, target paling tinggi pernah diletakkan!

Source: Perodua lepasi 200,000 unit jualan pada Okt 2022, Bezza sedan terlaris cantas Myvi dan Saga!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *